Friday 2 January 2015

JAMUAN AKHIR TAHUN PENDIDIKAN KHAS 2014


Pada 19 November 2014, telah diadakan majlis jamuan akhir tahun bagi murid-murid PPKI SK. Kg. Dato' Ibrahim Majid. Majlis ini diadakan sempena meraikan murid-murid pendidikan khas sama ada yang baru atau yang akan berpindah ke sekolah menengah. Tahun 2014 merupakan tahuan terakhir bagi adik Nurain Syafiqah Bt. Mohd Sani dan Muhammad Zaid B. Ab Latif kerana kedua-dua mereka akan melanjutkan pelajaran di sekolah menengah.

Friday 6 June 2014

KEJOHANAN BALAPAN DAN PADANG PENDIDIKAN KHAS KLUANG 2014


Kejohanan Balapan dan Padang Pendidikan Khas Daerah Kluang 2014 telah diadakan pada 4 dan 5 Mac 2014 bertempat di SSN Tun Hussein Onn, Kluang. PPKI SKKDIM telah menghantar seorang peserta iaitu Nuraian Syafiqah Bt. Mohd Sani bagi acara 100 meter. Pada acara saringan 100 m, Syafiqah telah berjaya memperoleh tempat ke-3 dan  layak memasuki acara 100m peringkat akhir. Namun pada peringkat akhir, Syafiqah hanya berjaya memperoleh tempat ke-8. Walau bagaimanapun tahniah kepada Syafiqah yang menunjukkan peningkatan dan kesungguhan dalam acara yang disertai.  Semoga Syafiqah akan lebih bersedia dan berjaya dalam kejohanan pada tahun hadapan.

Wednesday 12 March 2014

MAJLIS HARI LAHIR MURID PENDIDIKAN KHAS DAN PERPISAHAN CIKGU HAZAHAMIMA 2014

         
  Majlis hari lahir dan perpisahan Cikgu Hazahamima telah diadakan pada 11 Mac 2014 bertempat di kelas PPKI SKKDIM. Majlis dijalankan secara sederhana ini tetap meriah dengan kehadiran murid, guru dan ibu bapa pendidikan khas. Setiap tahun PPKI SKKDIM mengadakan majlis sambutan hari lahir bagi mendidik murid menghargai hari lahir mereka. 
            Majlis ini juga diadakan sempena menghargai jasa dan pengorbanan Cikgu Hazahamima yang akan berpindah sekolah ke SK. Dato Onn Jaafar, Simpang Renggam. Meskipun baru berkhidmat lebih kurang setahun di SKKDIM, beliau telah banyak membantu dan menaikkan nama PPKI SKKDIM. Kami warga pendidikan khas SKKDIM mengucapkan selamat bertugas di  sekolah yang baru untuk Cikgu Hazahamima. 

Monday 18 November 2013

MAJLIS GRADUASI PENDIDIKAN KHAS DAERAH KLUANG 2013

Majlis Graduasi Pendidikan Khas Daerah Kluang bagi tahun 2013 telah diadakan pada 7 November 2013 bertempat di Kluang Mall. Majlis ini diadakan sempena meraikan murid-murid pendidikan khas daerah Kluang yang akan melanjutkan pelajaran sama ada ke sekolah menengah ataupun yang akan menamatkan pelajaran selepas tamat sekolah menengah. Murid Pendidikan Khas SK. Kg. Dato’ Ibrahim Majid, Syed Afiq An-Nuur telah menyertai majlis tersebut dan telah dianugerahkan sijil graduasi.


Monday 28 October 2013

HARI PENDIDIKAN KHAS ZON SIMPANG RENGGAM


Hari Pendidikan Khas Zon Simpang Renggam 2013 telah diadakan pada 23 dan 24 Oktober 2013 bertempat di SMK Dato' Rahman Andak, Simpang Renggam. Seramai 3 orang murid Pendidikan Khas SKKDIM telah menyertai pertandingan pakaian beragam yang telah diadakan pada 23 Oktober. Dalam pertandingan tersebut adik Syed Afiq An-Nuur telah berjaya menjadi naib johan manakala adik Nurain Syafiqah dan Hazziq Afif masing-masing membawa pulang hadiah saguhati. Pada 24 oktober pula telah diadakan pertandingan dam haji yang telah disertai oleh Syed Afiq An-Nuur. Pertandingan dam haji dijalankan secara terbuka melibatkan sekolah rendah, menengah dan Pusat Dalam Komuniti (PDK) Zon Simpang Renggam. Adik Syed Afiq telah berjaya mendapat naib johan dalam pertandingan tersebut. Tahniah diucapkan kepada semua murid Pendidikan Khas SKKDIM yang telah berjaya dan sama-sama memeriahkan Hari pendidikan Khas Zon Simpang Renggam 2013.

Sunday 20 October 2013

LAWATAN MURID PENDIDIKAN KHAS DAN TAHUN 6 SKKDIM KE LEGOLAND


Pada 3 Oktober yang lalu, murid pendidikan khas dan tahun 6 SKKDIM telah menyertai lawatan ke Legoland, Johor Bahru. Seramai 80 orang murid  dan 8 orang guru pengiring telah menyertai lawatan tersebut. Lawatan ini diharap dapat memberikan ilmu dan pengalaman yang berguna kepada murid-murid pendidikan khas. Sepanjang lawatan ke Legoland murid-murid pendidikan khas kelihatan amat teruja dan gembira dapat bermain dan mencuba pelbagai jenis permainan dan aktiviti menarik yang terdapat di sana...
Diharap pada tahun hadapan Pendidikan Khas SKKDIM dapat menjalankan aktiviti lawatan di tempat-tempat menarik.

Wednesday 11 September 2013

MARHABAN PENDIDIKAN KHAS & PRA SEKOLAH 2013


5 September 2013-Program Marhaban merupakan program tahunan yang dijalankan bersama antara Kelas Pendidikan Khas dan Pra Sekolah SKKDIM. Program ini diadakan bertujuan untuk menggalakkan murid-murid terlibat dengan program keagamaan di samping mengeratkan hubungan sillaturrahim di antara murid-murid, guru-guru dan kakitangan sekolah. Aktiviti marhaban telah dijalankan di setiap kelas pra sekolah dan pendidikan khas dan diakhiri dengan majlis jamuan.